Monday, November 7, 2011

Khutbah Syeikh Muhammad Fuad Fi EID ADHA

04 OKT 2011. JUMA’AT. KHUTBAH SYEIKH DI MASJID DARUL EHSAN, TAMAN TAR.

Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebebenar taqwa, dengan menta’ati segala titah perinta...hNya dan laranganNya.
Semoga dimaqbul Allah sempena Hari ‘Arafah syurgaNya. Tidak ada hari yang paling banyak Allah merdekakan daripada neraka melainkan Hari ‘Arafah. Hari paling mulia didunia. Siapa lakukan ibadat pada Hari ‘Arafah digandakan 10,000 kali. Marilah kita tingkatkan ibadat pada Hari ‘Arafah ini.
Hari ini, 8 Zulhijjah, dipanggil Yaumul Tarwiyyah. Dahulu Nabi saw, ketika turun memnunaikan Haji, akan masuk ke Mina dahulu sebelum ke ‘Arafah. Baginda saw berbuat demikian bagi tujuan menyediakan makanan dan minuman; supaya kelak mudah mabid di Mina. Maka 8 Zulhijjah dinamakan Yaumul Tarwiyyah. Disebut oleh Imam Syafie, diantara malam-malam mustajab do’a ialah pada Malam Tarwiyyah.
Ahli mufassir berbeza pendapat berkenaan asal-usul atau memahami Hari Tarwiyyah dan Hari ‘Arafah.
Perdapat pertama. Nabi Ibrahim as pertama kali bermimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail as, pada malam 8 Zulhijjah. Maka pada siang harinya Nabi Ibrahim as berfikir-fikir apakah mimpi itu ilham dari Allah swt atau dari bisikan syaitan. Tarwiyyah dalam bahasa Arab bermaksud berfikir dan bermenung. Maka dari peristiwa Nabi Ibrahim berfikir dan bermenung, iaitu pada hari ke-8 Zulhijjah, ia disebut Hari Tarwiyyah.
Malam berikutnya Nabi Ibrahim as mengalami mimpi yang sama sekali lagi. Maka pada 9 Zulhijjah tahulah Nabi Ibrahim as bahwa mimpinya benar-benar dari Alllah swt dan mesti ditunaikan. Maka Hari ‘Arafah ialah hari Nabi Ibrahim as tahu bahwa mimpinya daripada Allah swt.
Malam berikutnya Nabi Ibrahim as bermimpi kali ketiga. Maka hari ke-10 Zulhijjah adalah hari Nabi Ibrahim as melaksanakan penyembelihan anaknya, Nabi Ismail as. Ia dinamakan Yaumul Nahar.
Pendapat kedua. Nama Hari ‘Arafah berkaitan dengan peristiwa selesainya Jibril as mengajar Nabi Ibrahim as tata-cara menunaikan ibadah Haji ketika mereka berada di Padang ‘Arafah. Apabila Jibril as selesai mengajarkan tawaf, selesai mengajar sa’i antara Bukit Sofa dan Marwah, manakala mereka sampai di Padang ‘Arafah, Jibrail as bertanya Nabi Ibrahim as: Adakah engkau tahu cara mengerjakan ibadat haji engkau? Jibril as menggunakan istilah ‘araf-ta’; maka dari peristiwa pertanyaan itu tempat dan hari tersebut dinamakan ‘Arafah.
Pendapat ketiga. Dikatakan juga Hari ‘Arafah berkaitan peristiwa pada hari bilamana Nabi Adam as berada di Padang ‘Arafah, serta mengiktiraf dosa dan kesalahannya memakan buah khuldi.
Pendapat keempat. ‘Arafah diambil dari istilah ‘raf’ yang bermaksud haruman dan wangian daripada Allah swt; maknanya Padang ‘Arafah dipenuhi haruman dan wangian. Tidak ada waktu dan masa yang paling banyak dibuka pintu-pintu langit, dan hari bumi paling ramai dikunjungi penduduk langit yang suci dari melakukan maksiat dan penderhakaan. Maka bumi berbau wangi, yang hanya dirasai dan dikucup harumannya oleh ahlillah, iaitu orang-orang yang dekat dengan Allah swt, merasai haruman tersebut. Mereka bergembira dan menyibukan diri dengan Allah swt.
Walau apa pun, sabab dinamakan Hari ‘Arafah tidak penting; yang penting ialah menjaga diri dari melakukan perkara yang dimurkai Allah swt pada Hari ‘Arafah.
Terdapat Hadith diriwayat oleh sepupu Nabi saw, al-Fadhl ibn Abbas ra, seorang remaja yang waktu itu membonceng diatas tunggangan Nabi saw di ‘Arafah. Disana terdapat para wanita turut berwukuf mengerjakan Haji. Ibn Abbas memerhati wanita-wanita yang tidak boleh dipandang oleh orang yang bukan mahram. Apabila Nabi saw melihat gelagatnya, Baginda saw bersabda:
“Wahai anak bapa saudaraku. Hari ini iaitu Hari ‘Arafah; sesiapa yang menjaga pendengarannya, dan penglihatannya dan menjaga diri daripada maksiat kepada Allah swt, nescaya di ampunkan dosanya.”
Maksud Hadist diatas, cukup dengan sekadar menjaga diri daripada maksiat akan mendapat maghfirah, diampun dosa. Apatah lagi jika ditambah dengan zikirullah, dengan do’a, dengan rintihan kepada Allah swt, yang menzahirkan kefaqiran dan kemiskinan dihadapan Allah swt, maka sudah pastilah ditambah nikmat; daripada keampunan kepada keredhaan Allah swt dan dikurniakan kejayaan menggapai makrifatullah, pengenalan yang hakiki pada Hari ‘Arafah.
Hari ‘Arafah adalah Hari Tauhid, hari mengesakan Allah swt. Jangan sekali-kali kita pada Hari ‘Arafah memasukan kebesaran makhluk kedalam benak hati kita. Tidak ada yang besar pada Hari ‘Arafah melainkan Allah swt sahaja.Tidak ada ilah,tidak ada sembahan selainkan Allah swt pada Hari ‘Arafah. Maka jangan kita mensyirikkan Allah swt; samada syirik khafi, iaitu melakukan ibadat dan keta’atan kepada Allah swt dengan tujuan kemasyhuran, dengan tujuan dipuji, dikatakan orang soleh dan sebagainya. Itu syirik khafi yang terselit dalam benak hati menduakan Allah swt dalam ibadat. Apatah lagi syirik jali, yang menyebabkan seorang hamba itu tidak dipandang Allah swt pada Hari ‘Arafah.
Memandang Hari ‘Arafah adalah hari mentauhidkan Allah swt, kita mendapati Rasulullah saw membasahkan bibir dan lidahnya dengan mentauhidkan Allah pada Hari ‘Arafah. Dan ini dirakamkan dan dinaqalkan kepada kita melalui riwayat yang sahih, Nabi saw bersabda; “ (tertinggal?). Laililaha illallahu wahdahu, la syarikalah. Walahul mulk, walahul hamd. Yuhyi wa-yumit. Wahuwa hayyul la-yamut.”

Maksud Hadith:
“Sebaik-baik do’a ialah pada Hari ‘Arafah”. Dengan menyebut ‘hari’ ia bermaksud amalan dimana sahaja pada hari ke-9 Zulhijjah, tidak terhad kelebihan do’a hanya do’a di Padang ‘Arafah; selagi mana kita hidup pada tarikh 9 Zulhijjah, selama itu kelebihan Hari ‘Arafah meliputi kita.
“Seafdhal-afdhal dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan dan yang pernah diucapkan oleh nabi-nabi sebelumku ialah zikrullah: Laililaha illallahu wahdahu, la syarikalah. Lahul mulk, walahul hamd. Yuhyi wa-mumit. Wahuwa hayyul la-yamut.”
“Laililaha illallahu wahdahu, la syarikalah”. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. ‘Wahdah’, esa pada zat, pada perbuatan, pada nama dan pada sifat. ‘La syarikalah’, tidak ada sesiapa yang menyengutui zatNya dengan maksud tidak ada sesiapa pun yang menyerupai zat Allah, dan zat Allah tidak menyerupai zat makhluk. Begitu juga  tidak ada sesiapa menyamai swt pada namaNya, pada sifatNya dan pada perbuatanNya.
“Walahul mulk, walahul hamd”. ‘Walahul mulk’, dan bagiNya kerajaan. Maka setiap orang yang berjawatan, yang berpangkat, yang berkuasa, yang memimpin kerajaan, sepatutnya menanggalkan sifat itu pada benak hati mereka pada sa’at dan ketika mereka berada pada Hari ‘Arafah. Tidak sepatutnya seorang Raja berurusan bahwa dia itu adalah Raja, pada Hari ‘Arafah. Tidak sepatutnya dan selayaknya seorang pemimpin berasa dia seorang pemimpin pada Hari ‘Arafah. Kerana kita mengistiharkan pada Hari ‘Arafah, bahwa yang mempunyai kerajaan hanya Allah swt. Ada pun yang selain daripada Allah tidak mempunyai sebarang kuasa, tidak mempunyai sebarang kerajaan. Jikalau kita mahu dipandang oleh Allah swt pada Hari ‘Arafah maka hendaklah merendah diri serendah-rendahnya, dengan menyembamkan muka kita keatas permukaan bumi dimana ini salah satu  bentuk pengistiharaan kehinaan diri kita dihadapan Allah swt pada Hari ‘Arafah yang dengannya Allah akan mengangkat kedudukan kita menjadi insan yang hampir dan dekat denganNya kerana tidak ada amal yang paling disukai Allah melainkan apabila sesaorang hamba itu mengenal bahwa dirinya adalah hamba. Tidak ada maksiat yang paling dimurkaii Allah, melainkan orang-orang yang merasa dirinya berkuasa dan mempunyai sifat ketuhanan seumpama kibriya’ dan ‘azomah, kebesaran dan keagungan,  yang dengannya menyebabkan mereka dilemparkan kedalam neraka tanpa diperdulikan Allah swt.
“Yuhyi wa-mumit”. Allah Yang Maha Menghidupkan dan Yang Maha Mematikan. Kita mohon kepada Allah swt pada Hari ‘Arafah dengan nama Allah, Yuhyi wa-Mumit, Yang Maha Menghidupkan dan Yang Maha Mematikan supaya Allah menghidupkan hati kita yang mati dengan makrifah dan dengan mahabbah kepada Allah swt; yang selama ini tidak ada walau sekelumit didalam benak hati kita perasaan kasih dan cinta kita kepada Allah swt. Mana mungkin orang yang tidak menaruh perasaan cinta kepada Allah dapat menggapai nikmat dan anugerah Allah iaitu makrifah terhadapNya. Maka hendaklah kita memohon kepada Allah pada Hari ‘Arafah semoga Allah menghidupkan hati kita, hidupnya hati sesaorang dengan mahabbah, dengan kasih dan cinta yang tidak berbelah bagi kepada khaliq, iaitu Pencipta dan Tuan kita, iaitu Allah swt.
“Wahuwa hayyu la-yamut”. Dia Maha Hidup, tidak ada istilah kematian bagiNya. DaripadaNya asal segala sesuatu, dan kepadaNya kembali segala sesuatu.
Inilah ucapan Nabi Muhammad saw dan para nabi as yang sebelumnya ketika mana berada pada Hari ‘Arafah.
 Moga Allah swt mengurniakan kepada kita pandanganNya pada Hari ‘Arafah, mengurniakan kepada kita kasihNya pada Hari ‘Arafah, mengurniakan kepada kita keredhaanNya pada Hari ’Arafah. Sehingga layaklah kita di merdekakan oleh Allah daripada api nerakaNya pada Hari ‘Arafah; yang dengannya kita  dapat bergembira pada keesokan harinya, menyambut Aidil Adha disebabkan kita tergolong dari orang yang dimerdekakan daripada api nerakaNya

Tak ada yang menarik,jika Anda tidak merasa tertarik. Make Things As Simple As Possible But No Simpler ©2011 Muhd Habib

No comments:

Post a Comment