Terdapat satu senarai pakej kematian yang sangat mulia
iaitu husnul khatimah atau mati syahid terutama di senarai yang ke lapan
dan kesembilan dalam tulisan ini.
Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian
sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya
Laa ilaaha illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)
Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat
atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin
Khusaib r.a (bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk
seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba
keningnya berkeringat maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Kematian seorang mukmin
disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)
Ketiga: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam
Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah
seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat
melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur).
Keempat: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana
ertinya: (Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang
terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi
Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah
kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum
mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka
memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan
bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman).
(Surah Ali Imran ayat 169-171)
Rasulullah s.a.w bersabda: “(Orang yang syahid mendapat kan enam
perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama,
diperlihatkan tempatnya dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi
keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota
keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat
bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”
Kelima: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan
terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “(Apa yang kalian nilai
sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang
terbunuh di jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi
sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ). Mereka berkata: Lalu siapa
mereka Ya Rasulullah?
Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid,
barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati
kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut
syahid dan orang yang tenggelam syahid).”
Keenam: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa
hadis antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah
kesyahidan bagi setiap Muslim).
Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.
Kelapan dan kesembilan: Mereka yang mati kerana teng gelam dan
terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada
ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang
tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).
Kesepuluh: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya
disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa
Rasulullah s.a.w menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau
tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa
syuhada’ dari umatku? Mereka berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah
syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku,
terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita
yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali
arinya ke syurga).
Kesebelas dan kedua belas: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit
bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa
hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan
sanad marfu’: (Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang
mati kerana wabak tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana
sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut
syahid, yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid,
dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid).
Ketiga belas: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah
syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar
syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB
syahid, yang mati kerana sakit perut syahid). (Hadis Hasan)
Keempat belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang
hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh
kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak
dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka
dia syahid).
Kelima belas dan keenam belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan
agama dan dirinya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang
siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh
kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya
syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid).
Ketujuh belas: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)
di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari
berpuasa dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan
dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan
rezekinya dan di amankan dari fitnah).
Kelapan belas: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang
mengucapkan: Laa ilaaha illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat
setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu
hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia
masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah meng
harapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk
syurga).
Kesembilan belas: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana
memberi nasihat kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
(Penghulu para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang
yang mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan
melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuh nya) Hadis dikeluarkan oleh
Al-Hakim dan disahihkannya dan Al Khatib.
Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin Ya Rabbal ‘aalamin
No comments:
Post a Comment